Madu Kelulut Superfood Pertama Malaysia untuk Pasaran Dunia

Madu kelulut merupakan komoditi yang diberi perhatian oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), YB Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek. Menurut YB Menteri, madu kelulut akan dijenamakan sebagai superfood pertama Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.

YB Menteri juga meminta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan supaya madu lebah kelulut mempunyai testimoni dan dibuktikan secara saintifik.

Madu kelulut akan dijenamakan sebagai “super food” pertama Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Artikel Berkaitan – Ketahui 70 Khasiat Madu dan Jenis Penyakit yang Dirawatnya

Beliau berkata produk madu kelulut yang dihasilkan pengusaha tempatan mempunyai pelbagai khasiat seperti mempunyai empat kali ganda antioksida berbanding madu lebah lain, dan asid fenolik yang berguna kepada manusia.

“Kita minta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan supaya kita mempunyai testimoni secara saintifik dan bukti klinikal khasiat madu kelulut.

“Selain itu, kita juga memerlukan sistem piawaian yang baik dalam perkara seperti pengredan, pembungkusan dan pelabelan yang standard bagi membawa nama Malaysia,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas merasmikan Road To MAHA 2016 Zon Timur di Taman Agroteknologi Mardi Cherating di sini semalam, yang turut dihadiri pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Beliau berkata penjenamaan madu kelulut sebagai “super food” dapat memberi nilai tambah kepada harga pasaran produk itu dan diharapkan dapat menyamai produk madu premium dari Yaman yang berharga RM45 sekilogram.

“Ramai telah mengusahakan madu kelulut. Malaysia antara negara paling hadapan dalam perusahaan madu kelulut dan tidak memerlukan modal yang begitu besar untuk diusahakan.

“Madu kelulut juga tidak sesuai diternak di kawasan sejuk, membolehkan kita mengambil peluang membangunkan perusahaan ini ke peringkat lebih tinggi dan setakat ini, produk ini mendapat permintaan yang melebihi penawaran,” katanya.

Ahmad Shabery berharap pengusaha madu kelulut menyambut baik inisiatif penjenamaan madu kelulut sebagai “super food” dan mempunyai kesedaran untuk bersama-sama Mardi dalam penyelidikan mereka.

Beliau berkata bagi mempromosi madu kelulut, pihaknya juga melantik seorang bekas pekerja swasta Sabri Ali, 54, sebagai duta madu kelulut yang akan mempromosi khasiat produk itu di seluruh negara dengan berjalan kaki.

Kempen itu yang dikenali sebagai “kelulut walk” dijangka bermula pada awal Oktober ini meliputi perjalanan sejauh 2,000 kilometer selama 50 hari, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Perjalanan itu merupakan kali ketiga untuk Sabri, anak jati Kemaman, selepas melakukan perjalanan sejauh 1,800km dalam tempoh 40 hari pada 2014, dan 1,600km selama 35 hari pada tahun lalu.

“Sabri mengamalkan madu kelulut setiap hari sebagai makanan tambahan semasa berjalan kaki dan turut menyapu madu kelulut di bahagian kaki yang luka. Alhamdulillah luka sembuh pada keesokan hari sebelum beliau menyambung semula perjalanan,” katanya.

Ahmad Shabery juga berharap orang ramai khususnya pengusaha madu kelulut dapat memberi sokongan kepada Sabri dengan berjalan kaki bersamanya semasa beliau tiba di negeri mereka. — Bernama