Standard Khas Madu Kelulut Akan Dibangunkan Kerajaan

Berita di bawah tentang usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan agensi berkaitan untuk menetapkan satu standard bagi produk madu kelulut supaya kualiti madu kelulut daripada penternak lebah kelulut seluruh Malaysia dapat diseragamkan.

MELAKA – Kerajaan melalui beberapa agensi termasuk Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan membangunkan standard khas bagi penghasilan madu kelulut yang dikeluarkan pengusaha tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata standard khas berkenaan penting dalam usaha menjadikan madu kelulut sebagai makanan premium negara yang boleh dieksport ke luar negara dengan harga yang tinggi.

Katanya usaha tersebut dilihat akan membantu mengembangkan industri penternakan madu kelulut di negara ini dan membantu pengusaha memperoleh pendapatan yang lumanyan.

“Sekarang ini madu kelulut telah disenaraikan sebagai Superfood Malaysia oleh MARDI dan kita lihat permintaan terhadapnya semakin meningkat berbanding sebelum ini kerana masyarakat kini semakin sedar tentang kebaikan mengambilnya.

“Namun permintaan terhadap madu kelulut melebihi daripada pengeluarannya dan kita perlu berusaha untuk meningkatkannya agar dapat memenuhi permintaan tempatan dan boleh dieksport ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kelulut Walk 2016 di A Famosa di Bandar Hilir di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman dan Duta Madu Kelulut Walk 2016 Sabri Ali.

Beliau berkata piawaian berkenaan juga bagi memastikan kandungan air dan nutrien yang betul dapat dikekalkan bermula dari pengeluaran sehingga pembungkusannya.

“Berdasarkan kajian, madu kelulut ini mempunyai kandungan anti oksidan 10 kali ganda lebih banyak daripada madu biasa. Jadi adalah penting untuk kita memastikan semua kandungan nutrien dapat dipelihara dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak kementerian dan agensi di bawahnya akan membantu dan membimbing pengusaha madu kelulut untuk mempertingkatkan pengeluaran madu berkenaan termasuk dalam aspek pembungkusan dan pelabelan untuk tujuan pengkomersialan dan dieksport ke luar negara.

Ahmad Shabery berkata sehingga kini lebih 1,000 pengusaha madu kelulut direkodkan berdaftar di bawah kementeriannya dan terdapat pengusaha swasta dan individu yang tidak berdaftar, menjadikan penternakan madu kelulut sebagai hobi mereka.

Sementara itu, Sabri, 54, yang kini dalam misi menamatkan acara berjalan kaki merentasi 12 negeri meliputi Sabah dan Sarawak, hari ini meneruskan perjalanannya selama dua hari bermula hari ini dari A Famosa di Bandar Hilir ke Dataran Keris di Alor Gajah melibatkan jarak sejauh 43.9 kilometer sebelum meneruskan misi tersebut ke Negeri Sembilan dan berakhir di Camar Laut di Sepang pada 1 Dis depan.

Misi yang mengambil masa 55 hari dengan jarak 2,000 kilometer itu akan dicatatkan sebagai ‘Longest Distance Solo Walking Tour’ dalam The Malaysia Book of Records selepas memulakannya di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor pada 8 Okt lepas.

Sabri yang juga juruteknik sebuah syarikat swasta di Kemaman, Terengganu berkata beliau mengakui khasiat mengamalkan minum madu kelulut sejak dua tahun lepas banyak memberi kesan positif pada tubuh badannya selain minda menjadi lebih cergas.

“Setakat ini saya tidak mengalami masalah kesihatan yang besar sepanjang melakukan perjalanan solo ini kecuali terdedah dengan keadaan cuaca yang panas dan hujan tidak menentu. Namun Alhamdulillah ia berjalan lancar dan saya semakin bersemangat untuk menamatkan misi ini yang berbaki enam hari lagi,” katanya. – BERNAMA